Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menunjukkan buku Dasar Pendidikan pada Majlis Memeterai Kerjasama Program Pendidikan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Yayasan Selangor di Astaka Megawati, Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam. Foto AFFAN FAUZI, 28 APRIL 2021.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sedia meneruskan program Selangor Tutor di negeri itu sekiranya berlaku sekali lagi penutupan sekolah susulan peningkatan kes baharu Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shaari berkata, kejayaan program Selangor Tutor menarik minat 100,000 penyertaan pelajar diyakini mampu menampung permintaan pembelajaran dalam talian.

“Kita pernah buat Selangor Tutor penyertaannya sangat menggalakkan seramai 100,000 pelajar dan mungkin dapat mengatasi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Saya fikir kita sudah mulakan beberapa fasa boleh diperluaskan selain dilema yang memang ada dalam sistem pendidikan Persekutuan ketika ini. Jadi kita boleh tambah nilai program lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan buku Dasar Pendidikan di kediaman rasminya di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, sesi pembelajaran selepas cuti Hari Raya Aidilfitri akan diteruskan dengan sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Menurutnya, sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Keputusan itu dibuat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 di sekolah selepas cuti sekolah bagi meraikan perayaan Aidilfitri yang dijadualkan pada 7 hingga 15 Mei bagi sekolah kumpulan A dan 8 sehingga 16 Mei bagi sekolah kumpulan B.

Amiruddin juga tidak menolak kemungkinan program Selangor Tutor akan ditambah baik pada masa hadapan dengan kombinasi pendidikan dalam talian dengan pendidikan secara bersemuka.

“Kita juga nak kembangkan hal itu dalam talian untuk anak-anak negeri Selangor selepas ini.

“Memang kita nak cuba gabungkan atau hibrid di antara pendidikan dalam talian dengan penampilan fizikal pelajar dalam kelas-kelas,” katanya.

Ditanya tentang penutupan 30 sekolah Selangor selama dua hari selepas kes baharu Covid-19 dikesan, Amiruddin bagaimanapun berkata, pihaknya akan membuat saringan secara bersasar.

“Selepas sekolah itu ditutup, kita nak tengok jaringan pelajar-pelajar itu bergerak ke mana atau pelajar itu datang dari bahagian mana kawasan perumahan.

“Jadi kita akan pergi ke kawasan perumahan itu berasaskan kes sebab kita nak kesan, kena asingkan dan uji mereka yang suspek dan berpotensi untuk dijangkiti.

“Ini memang kita sedang lakukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan gelombang baharu penularan Covid-19 selepas kerajaan negeri berhempas pulas menurunkan kes positif di negeri itu.

“Kita baru nak lega daripada gelombang ketiga tapi saya lihat gelombang yang sangat membimbangkan bermula di sekolah. Kita rasa perlu teliti balik pendidikan dalam talian, sebagai salah satu pilihan.

“Selagi mana kita tidak dapat lagi imuniti, saya kira sangat berisiko tinggi untuk pendidikan berlangsung sekarang kerana SOP tidak dapat dikawal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast