Operasi cegah rokok seludup. - foto Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menubuhkan satu pasukan elit yang memelihara nilai-nilai integriti, keberanian dan ketinggian moral yang kritikal bagi mengatasi super kartel penyeludupan rokok, kata bekas Ketua Polis Sarawak, Datuk Dr. Yusoff Nook,

Cadangan itu dibuat susulan laporan mengenai empat pegawai Jabatan Kastam DiRaja Malaysia didakwa di mahkamah atas tuduhan melepaskan dua kontena mengandungi rokok seludup yang dirampas.

Beliau berkata, kes berkenaan tidak pernah berlaku sebelum ini, membuktikan betapa mendalamnya penyusupan jenayah di dalam agensi penguatkuasaa undang-undang kita yang telah melonjakkan Malaysia menjadi negara nombor satu pengedar rokok seludup di dunia.

”Masalah ini bukan sahaja boleh diatasi jika kita memiliki pasukan elit seperti The Untouchables mengetuai Pasukan Petugas Pelbagai Agenci (MATF), yang telah digerakkan bagi menangani permasalahan perdagangan rokok seludup,” kata beliau, merujuk kepada filem klasik The Untouchables terbitan 1987 lakonan Kevin Costner dan Sean Connery.

Yusoff juga mendakwa perniagaan rokok seludup pada masa kini dibantu oleh super kartel membabitkan orang berkedudukan tinggi dari sektor awam dan swasta.

Menurutnya, Malaysia kerugian RM5 bilion setiap tahun dari segi hasil cukai yang tidak dikutip akibat jenayah ekonomi
ini dan jika masalah ini dapat ditangani awal dulu, kerajaan tidak perlu menggunakan jumlah wang sebegitu besar dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk membiaya program vaksinasi kita.

Untuk membolehkan penubuhan The Untouchables Malaysia, Datuk Dr Yusoff mencadangkan pelantikan pegawai di dalam MATF dengan individu yang mempunyai perwatakan betul, rekod perkhidmatan dan set kemahiran yang diperlukan.

“Individu seperti Ketua Polis Negara sekarang, Tan Sri Abdul Hamid Bador, atau pegawainya, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay iaitu Ketua Polis Johor, adalah contoh utama mereka yang berani menentang arus dan melakukan apa yang diperlukan demi kedaulatan negara kita,” kata beliau.

Katanya, pasukan The Untouchables di dalam MATF tidak boleh beroperasi di luar atas undang-undang tetapi boleh melaksanakan tanggungjawab mereka menggunakan pendekatan di luar kotak, menggunapakai teknologi canggih dan teknik yang ada di dalam pasukan penguatkuasaan moden hari ini.

Pendekatan ini akan membolehkan MATF mencapai kejayaan besar lebih daripada apa yang ada sehingga kini, untuk menutup perdagangan rokok seludup sehabis-habisnya, ujar beliau. – MalaysiaGazette