Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe.Foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2021.

GOMBAK – Dua pemuda bersenjatakan pisau yang memecah masuk sebuah rumah di Taman Sri Gombak, Batu Caves, baru-baru ini berjaya dicekup polis.

Kejadian itu berlaku pada jam 3.30 petang pada 26 April lalu.

Dua suspek itu dikatakan memakai topi keledar telah bertindak mengacukan pisau pada leher seorang suri rumah dan melarikan barang kemas yang disimpan dalam peti keselamatan di rumah itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pengadu dalam laporan polisnya mendakwa ketika kejadian hanya isteri dan anak pengadu berada di rumah.

Salah seorang suspek telah mengacukan senjata sebilah pisau ke leher isteri pengadu dan memaksa wanita itu membuka peti keselamatan.

“Suspek telah mengambil barang-barang kemas peribadi meliputi empat utas rantai emas, tiga bentuk cincin emas, empat pasang subang emas, dua gelang tangan emas, tiga utas rantai tangan emas, dua loket emas, sebuah telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM2,000 serta mata wang asing berjumlah AS$500 sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dalam kejadian tersebut mangsa mengalami kerugian yang dianggarkan berjumlah RM40,000.

Menurut beliau, bertindak atas laporan pengadu dan maklumat yang diperoleh, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak telah berjaya menangkap tiga lelaki tempatan disyaki terlibat di dalam kes ini.

Katanya, ketiga-tiga suspek berusia antara 20 dan 21 tahun itu ditahan semalam di tiga lokasi berasingan di sekitar daerah Gombak dan Hulu Selangor.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kesemua suspek, polis berjaya merampas barang-barang kes yang dipercayai milik mangsa,” ujarnya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan menggunakan senjata.

Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang untuk direman selama tujuh hari mulai semalam hingga 4 Mei ini.

Arifai berkata, siasatan lanjut masih lagi diteruskan polis untuk mengesan rakan sejenayah yang masih bebas dan mengenalpasti penglibatan kumpulan ini di dalam kes-kes lain.

Kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast