Saadon Mokhtar

BATU KAWAN – Lebih 672 pegawai dan anggota di 20 balai bomba di Pulau Pinang diletakkan dalam keadaan siap siaga menjelang sambutan Aidilfitri, bulan depan.

Ia bagi mematuhi arahan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri itu yang hanya membenarkan 20 peratus daripada lebih 840 kakitangannya bercuti untuk menyambut Aidilfitri kali ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Mokhtar berkata, arahan itu bertujuan memastikan perkhidmatan pasukan tidak terjejas dalam keadaan yang memerlukan.

Jelas beliau, walaupun Pulau Pinang masih dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),  pihaknya percaya sambutan Aidilfitri akan diraikan kerana rentas daerah dibenarkan.

“Ketika musim perayaan kita akan membuat persiapan dari segi kesiapsiagaan rondaan di lebuh raya terutamanya ‘hotspot’ kemalangan iaitu bermula di Plaza Tol Bandar Baharu hingga Plaza Tol Sungai Petani selatan.

“Pemantauan itu dilakukan bermula 10 hingga 16 Mei ini bagi melihat sekiranya ada ruang berlakunya sebarang kemungkinan dan pihak bomba boleh ambil tindakan lebih awal.

“Selain itu, kita juga akan menjalankan program kesedaran sebelum dan selepas Aidilfitri bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa diberi keutamaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pejabatnya di Batu Kawan semalam.

Tambah Saadon, sekiranya terdapat keperluan mendesak, pihaknya akan menambah kakitangannya serta menyusun kembali struktur operasi.

“Pegawai dan anggota akan bekerja 24 jam secara syif, sekiranya ada keperluan untuk memanggil kembali anggota yang bercuti, kita akan lakukan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Saadon menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan pegawai serta anggotanya yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) pengawalan penularan Covid-19. – MalaysiaGazette