Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob MCO burger seller stall RM50,000 compound Wan Mohd Faisal Wan Kadir KD Mahawangsa Covid-19 positive crewmen crew navy ship
Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Dua kawasan di Sarawak dan tiga lokasi di Sabah ditamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan-kawasan yang terlibat di Sarawak adalah Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuching dan Kuarters Kakitangan serta Sungai Passin, Matu, Mukah, di Sarawak.

Katanya, di Sabah tiga kawasan yang terlibat penamatan adalah Taman Tawau Lama dan Kampung Batu Payung, Tawau dan Kampung Baru Pasir Putih, Tawau, serta Kampung Simpang 3A, Merotai Besar, Tawau, Sabah.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Pusat Latihan Polis Kuching dan Kuarters Kakitangan, Sarawak yang dijadualkan tamat pada hari ini.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 1,439 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 453 kes positif COVID-19 direkodkan.

“Walaubagaimanapun, KKM melaporkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal. Manakala, kesemua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke PKRC serta kontak rapat diasingkan dan dipantau sehingga hari ke-14.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di PULAPOL Kuching dan Kuarters Kakitangan, Sarawak hari ini seperti dijadualkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, penamatan PKPD turut dilaksanakan di Sungai Passin, Matu, Mukah, Sarawak yang dijadualkan tamat pada 8 Mei ini.

Ujarnya, sebanyak 442 ujian saringan dilaksanakan KKM dan 58 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Menurut Ismail Sabri, KKM mengesahkan trend kes telah menurun dan semua kontak rapat dikenalpasti dan diasingkan di pusat kuarantin yang disediakan.

Setelah penilaian risiko di lokasi berkenaan kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Sungai Passin, Matu, Mukah, Sarawak pada hari esok iaitu seminggu lebih awal daripada yang dijadualkan, ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai situasi semasa PKPD di Sabah, katanya, kerajaan memutuskan untuk menamatkan pelaksanaannya di Taman Tawau Lama dan Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah esok.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 23 ujian saringan di Taman Tawau Lama dan 13 daripadanya positif Covid-19 manakala 14 kes positif direkodkan di Kampung Batu Payung hasil daripada 43 ujian saringan dilakukan.

“KKM turut mengesahkan kes telah menurun dan kluster terkawal di dua lokaliti ini manakala semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Taman Tawau Lama dan Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

“Turut berlaku penamatan PKPD pada hari esok adalah di Kampung Baru Pasir Putih, Tawau, Sabah yang dijadualkan tamat pada 12 Mei lalu,” katanya.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 847 ujian saringan dijalankan dan sebanyak 23 kes daripadanya positif.

Katanya, kesemua sampel saringan yang sedang menunggu keputusan sebelum ini didapati negatif dan terdapat penurunan kes serta kluster adalah terkawal.

“Setelah mengambil kira penilaian risiko dan atas nasihat KKM, PKPD di Kampung Baru Pasir Putih, Tawau, esok lebih awal dua minggu daripada tarikh yang ditetapkan.

“Kawasan ketiga di Sabah yang ditamatkan PKPD adalah Kampung Simpang 3A, Merotai Besar, Tawau, yang dijadualkan tamat hari ini.

“Sebanyak 745 ujian saringan telah dilakukan KKM dan 12 daripadanya disahkan positif selain trend kes telah menurun dan semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke pusat kuarantin.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Simpang 3A, Merotai Besar hari ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette