Dr. Adham Baba

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju melibatkan Pusat Jagaan Ambulatori Swasta dan Klinik Pakar Swasta dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa kedua dan ketiga sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Pusat Jagaan Ambulatori Swasta dan Klinik Pakar Swasta yang ingin mengambil bahagian boleh berdaftar melalui Protect Health Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dilaman web www.protecthealth.com.my bermula hari ini.

“Dengan inisiatif ini lebih banyak fasiliti kesihatan swasta akan terlibat dalam menjayakan PICK Fasa kedua dan ketiga yang dilaksanakan.

“Pada 12 April lalu, KKM telah bersetuju untuk melibatkan hospital swasta dalam PICK Fasa2 dan 3 sebagai Pusat PemberianVaksin(PPV).

“Penglibatan hospital swasta ini mengambil kira cadangan yang dikemukakan pihak hospital swasta yang tidak mahu terkecuali dalam menggembleng tenaga bagi memastikan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Malaysia diberikan imunisasi Covid-19 dicapai segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma kepada hospital swasta bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat. – MalaysiaGazette