Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun disifatkan sebagai mengiktiraf hak dan kebolehan golongan muda.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, golongan muda mempunyai pemikiran politik berbeza, selain tidak terikat dengan bebanan sejarah yang menghantui ramai ahli politik lain dan afiliasi kepartian tetap.

Menurutnya, semua perkara itu akan menyumbang kepada pertimbangan rasional apabila membuat keputusan, lantas menghasilkan persaingan politik antara parti yang lebih baik dan lebih sihat dalam negara kita.

“Memang seharusnya sebarang kekangan terhadap pelaksanaan Undi 18 diselesaikan segera pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya kekal menyokong usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan keputusan terkini Kabinet untuk melaksanakan Undi 18,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Wan Saiful berkata, beliau turut menyambut baik kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung pelaksanaan Undi 18.

Terdahulu, Takiyuddin dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, kerajaan terus komited untuk melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun, sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada tahun 2019.

Perkara itu katanya, sudah dibincangkan dan disahkan dalam mesyuarat Kabinet semalam serta akan diusahakan dalam tempoh terdekat. – MalaysiaGazette