Dr. Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mengesyorkan agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan garis masa yang jelas berkenaan dengan pelaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Automatik.

Ini bagi memastikan tidak ada lagi sebarang persepsi negatif seolah-olah menggambarkan ada usaha terancang untuk menggagalkan agenda bersejarah yang disepakati secara bipartisan di Parlimen, kata ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki.

Katanya, Pemuda UMNO menyambut baik keputusan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan Undi18 menjelang PRU-15 kelak dan mahu pelaksanaan berjalan serentak dengan pendaftaran pemilih secara automatik.

Kaedah itu adalah sebagaimana syarat utama yang diletakkan oleh Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional ketika pindaan Perlembagaan Persekutuan hendak diluluskan di Dewan Rakyat pada 2019, tegas Asyraf.

Tuntasnya, ujar beliau, pelaksanaan Undi18 adalah hasrat murni untuk memberikan suara dan hak demokrasi kepada lebih 1.2 juta anak muda berumur diantara 18 dan 20 tahun serta hampir 4.2 juta rakyat Malaysia yang berumur lebih 21 tahun tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih.

Dalam pada itu, Pemuda UMNO menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan yang terus komited untuk memastikan perlaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Automatik sebagaimana yang diputuskan di Parlimen merentasi parti menjadi satu kenyataan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast