Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan menumpaskan Geng Nicky yang turut membabitkan pegawai kanan pasukan keselamatan itu.

Ia berikutan, bukan mudah untuk menumpaskan sindiket terbabit, namun kontinjen Polis Johor yang diketuai Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berjaya membongkarnya.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, sungguh mendukacitakan apabila pegawai dan anggota penguatkuasa yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara bertindak merosakkannya.

“Dilaporkan dalam serbuan besar-besaran Ops Pelican 3.0 Fasa 2, 10 pegawai kanan PDRM serta pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjadi tali barut penjenayah telah berjaya ditumpaskan.

“Siasatan masih diteruskan bagi menahan saki-baki individu yang terlibat. Kejayaan demi kejayaan telah dicipta PDRM, SPRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan barisan pihak berkuasa dalam membanteras jenayah terancang dalam negara ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kamaruzaman menambah, pihak berkuasa menjadi benteng kepada seluruh rakyat dalam menjaga keamanan negara.

Ujarnya, sebanyak 394 sindiket dadah yang melibatkan 1,537 individu telah berjaya ditumpaskan sejak tahun lalu sehingga Mac 2021, manakala dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (Pati), ATM berjaya merekodkan sebanyak 35 peratus pengurangan sejak Op Benteng bermula Mei tahun lepas.

Justeru, Kamaruzaman memberitahu, Pas berharap rekod cemerlang barisan hadapan negara dapat diteruskan selari dengan peranan yang dipertanggungjawabkan bagi menjaga keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.

“Pas juga sebagai komponen kerajaan Perikatan Nasional sentiasa berusaha untuk terus meningkatkan kualiti kerja seluruh agensi kerajaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast