KUCHING – Sarawak Energy Bhd (Sarawak Energy) telah memecat 60 pekerja asing yang digaji tanpa permit oleh kontraktor untuk Projek Hidroelektrik Baleh (HEP) di Bahagian Kapit, kata Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Katanya, 60 pekerja warga asing itu adalah antara 970 pekerja yang dikesan semasa ujian saringan COVID-19 yang dijalankan secara besar-besaran di tapak projek berkenaan pada 24 April lepas dan kesemua mereka telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Satu siasatan telah dijalankan dan audit kepatuhan terhadap tapak fizikal akan dilakukan segera setelah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) ditamatkan, sebagai sebahagian usaha Sarawak Energy untuk memastikan tiada pekerja asing haram di tapak projek, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, semasa siasatan berlangsung, pasukan Projek HEP Baleh juga akan meningkatkan pengawasan terhadap kem kontraktornya dengan melakukan pemeriksaan mengejut  terhadap pekerja dan anggota keselamatan di kawasan tapak projek.

“Usaha ini akan melengkapkan operasi bersepadu antara Sarawak Energy, Jabatan Imigresen dan Polis untuk mengesan pekerja tanpa izin di tapak projek Baleh,” katanya.

Dalam usaha mengekang penyebaran COVID-19, Dr Rundi berkata, Sarawak Energy sedang berusaha untuk membendung wabak berkenaan dengan bantuan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Kapit, serta Jabatan Kesihatan dan pihak keselamatan.

“Sokongan mereka pada waktu-waktu sukar ini sangat penting kerana kita semua perlu bekerja secara bersama-sama untuk mengekang ancaman ini dalam kehidupan kita,” katanya.

Projak HEP Baleh merupakan antara projek infrastruktur utama Sarawak dan menggaji lebih 500 rakyat Sarawak dari seluruh negeri termasuk Kapit dan kawasan sekitarnya, selain tenaga kerja asing untuk kerja-kerja sampingan.

Beliau berkata, sejak Mac tahun lepas, tapak projek tersebut telah melaksanakan Prosedur Operasi Piawai (SOP) COVID-19 yang ketat pada kawalan pintu masuk dan keluar yang menyaksikan tapak projek itu bebas daripada penyakit itu setakat ini. – Bernama