Presiden PEJUANG, Mukhriz Mahathir turut menyertai Himpunan #BukaPuasaBukaParlimen Enam Tuntutan Kepada Kerajaan Perikatan Nasional di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat masih menunggu tarikh untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, peluang untuk menghadap YDPA sangat penting dan perlu dengan kadar segera kerana pihak jawatankuasa itu mahu menceritakan mengenai keluhan rakyat.

“Saya fikir istana pun tahu sebenarnya dan kita mahu menyatakan kepada baginda pentingnya Parlimen ini dapat bersidang semula seperti mana yang disarankan YDPA,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan Parlimen hari ini.

Presiden PEJUANG, Mukhriz Mahathir bercakap kepada media pada Himpunan #BukaPuasaBukaParlimen Enam Tuntutan Kepada Kerajaan Perikatan Nasional di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 APRIL 2021.

Mukhriz sebelum itu bersama kira-kira 100 peserta Sekretariat Solidariti Rakyat berhimpun dan berbuka puasa di hadapan premis kerajaan itu sebagai tanda protes mendesak kerajaan di bawah Kepimpinan Perikatan Nasional (PN) menamatkan darurat dan membenarkan Parlimen bersidang semula.

Tambah Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jerlun, kehendak YDPA mahu berjumpa dengan wakil Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat sudah melegakan pihaknya.

“Kita menanti isyarat menghadap Agong saja. Bila kita sudah terima berita istana sedang menguruskan itu pun sudah melegakan hati kita,” ujarnya.

Pada 27 April lalu, Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat bercadang untuk membawa 12 pemimpin pembangkang bagi menghadap Agong untuk memperincikan desakan mereka berkaitan darurat.

Bagaimanapun, pengerusi jawatankuasa itu, Khalid Abdul Samad berkata, nama kesemua 12 pemimpin yang akan bersama dalam rombongan tersebut masih belum dimuktamadkan lagi.

Malahan pada 22 April lalu, Khalid menyatakan YDPA telah berkenan membenarkan jawatankuasa terbabit menghadap agar dapat menyerahkan memorandum berkaitan tamat darurat.

Pada 12 Mac lalu jawatankuasa itu yang dianggotai beberapa ahli politik pembangkang dan aktivis melancarkan kempen mengumpul tandatangan termasuk secara dalam talian bagi memohon agar darurat yang sedang dikuatkuasakan kerajaan agar ditamatkan segera.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast