Sebahagian peserta memegang plakad bantahan pada Perhimpunan Aman Sempena Sambutan Hari Pekerja 2021 oleh Parti Sosialis Malaysia dan Jaringan Rakyat Tertindas di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Segelintir majikan didapati mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan Covid-19 untuk menindas pekerja mereka.

Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM), Y Kohila berkata, antara bentuk penindasan meliputi pengurangan gaji dan kehilangan kerja sehingga antaranya membabitkan ekonomi dan kadar pengangguran.

“Bayangkan para graduan yang kita baru sahaja tamatkan pengajian gaji permulaan mereka hanya sekitar RM1,300 sahaja. Kaum pekerja sektor informal, pekerja migran dan pelarian berhadapan dengan pemberhentian kerja secara berleluasa.

“Pemotongan gaji bermaharajalela, diskriminasi dan pengurangan pekerja secara mendadak, secara paksa dan secara zalim.

Ahli Jawatankuasa PSM, Y Kohila bercakap pada Perhimpunan Aman Sempena Sambutan Hari Pekerja 2021 oleh Parti Sosialis Malaysia dan Jaringan Rakyat Tertindas di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 MEI 2021.

“Golongan kapitalis pula terus catatkan keuntungan berlipat kali ganda, kaum pemerintah terus berselindung di belakang darurat,: katanya yang juga Penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit)

Tambah beliau, jaminan kerja itu adalah vaksin kehidupan untuk mereka terus hidup, menyara keluarga dan menjamin keluarga dalam keadaan cukup mencabar ini.

Kohila berkata, Hari Pekerja merupakan penyuntik semangat baru kepada golongan pekerja untuk meneruskan perjuangan mempertahankan hak asasi serta merealisasikan pembebasan diri golongan pekerja dari penindasan.

Timbalan Presiden PSM, S.Arutchelvan bercakap pada Perhimpunan Aman Sempena Sambutan Hari Pekerja 2021 oleh Parti Sosialis Malaysia dan Jaringan Rakyat Tertindas di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 MEI 2021.

Sementara itu, Setiausaha Agung PSM, S. Arulchelvan memberitahu, pihaknya telah mengetengahkan 15 tuntutan yang diharap mendapat perhatian seterusnya pelaksana bagi menjamin hak serta kebajikan golongan pekerja terjamin.

Antaranya, kerajaan harus wujudkan skim jaminan pekerjaan, batalkan pengisytiharan darurat dan memulihkan parlimen, hak kesihatan, jaminan pekerja migran dan menghentikan tangkapan, memperkasakan hak kesatuan pekerja dan orang asli, menyediakan perumahan yang selesa dan menghentikan pengusiran.

Kerajaab juga perlu memberi hak bertani dan jaminan makanan, mengawal harga barangan, memberi kebebasan media selain memansuh ordinan anti berita palsu, POCA, SOSMA, POTA dan Akta Hasutan.

PSM turut menggariskan hak para pelajar seperti pemansuhan AUKU, Akta 174, PTPTN, PTPKN, hentikan penswastaan perkhidmatan asas dan mengagihkan kekayaan dan cukai ke atas syarikat multi nasional.

Sebanyak 97 organisasi menyokong tuntutan hari Pekerja 2021 itu. – MalaysiaGazette