Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan menilai semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa sekarang.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian semula itu difikirkan perlu khususnya di negeri-negeri yang sedang mengalami peningkatan kes-kes positif Covid-19 secara mendadak.

“Penilaian semula ini penting untuk memastikan SOP yang berkuat kuasa dan tindakan yang diambil adalah berkesan untuk membendung penularan Covid-19 yang sedang meningkat di negara kita dan di seluruh dunia,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Presiden Bersatu itu berkata, setakat ini kerajaan telah menggunakan sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

Jelas Muhyiddin, sistem itu bagi mengenal pasti kawasan atau premis yang berisiko menyumbang kepada penularan Covid-19.

“Premis-premis ini akan diarah tutup jika dikesan telah dilawati oleh sejumlah besar mereka yang positif Covid-19.

“Pendekatan ini selari dengan keputusan kerajaan untuk mengawal dan membendung penularan jangkitan Covid-19 secara bersasar,” jelas beliau lagi.

HIDE sebelum ini berjaya mengesan sejumlah 22 tapak bazar Ramadan berisiko penularan Covid-19 di tujuh negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

Kesemua tapak bazar Ramadan itu kini diarahkan tutup. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.