KUALA LUMPUR – Kerajaan menumpukan usaha untuk merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi menerusi Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi tahap kelima.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan itu bagi memperkasakan ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan rakyat terutama yang terjejas pendapatan dan kehilangan pekerjaan.
Menurut beliau, dalam mencapai hasrat itu, kerajaan telah memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi bagi membantu rakyat dan perniagaan serta melindungi ekonomi.
Pakej itu, katanya, dilaksanakan melalui PRIHATIN, PENJANA, PERMAI dan PEMERKASA dengan peruntukan lebih RM300 bilion.
“Pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk membantu pekerja dalam mengekalkan pekerjaan dan menangani cabaran kadar pengangguran dilaksanakan melibatkan inisiatif di bawah PERKESO dan HRDF termasuk memperkukuh saringan kesihatan pekerja.
“Kerajaan juga berusaha memastikan pekerja mendapat manfaat daripada peruntukan besar pakej rangsangan ekonomi ini bagi memastikan bukan sahaja nyawa rakyat dapat dilindungi, tetapi terus memperolehi perlindungan aspek ekonomi untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi RTM hari ini.
Menurut Muhyiddin, sejak setahun lalu, beliau telah menggariskan tiga strategi utama bagi membantu meringankan beban pekerja secara khusus dalam berdepan dengan kesukaran semasa akibat wabak Covid-19 ini.
Kata beliau, strategi itu ialah mengekalkan pekerjaan, melindungi hak pekerja dan mencipta peluang pekerjaan.
Strategi pertama, katanya, memastikan pekerja dapat kekal dalam pekerjaan dan mengekalkan sumber pendapatan dengan inisiatif seperti penempatan pekerjaan lebih bersasar.
“Kita juga memperkenalkan program peningkatan kemahiran dan latihan semula termasuk digitalisasi serta pewujudan platform latihan yang mudah diakses secara dalam talian.
“Program ini telah memberi manfaat kepada pelbagai pihak antaranya Program Subsidi Upah, Program Pengekalan Pekerjaan dan PENJANA Kerjaya di bawah PERKESO serta PENJANA HRDF.
“Selain itu, kerajaan turut membelanjakan lebih RM800 juta yang memanfaatkan pekerja dan majikan,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan juga terus berusaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam mempersiapkan kebolehpasaran untuk pekerjaan masa hadapan.
Katanya, walaupun banyak institusi latihan terpaksa ditutup berikutan tempoh PKP, sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian tetap diteruskan dan program latihan secara modular dan micro credentials diperluaskan.
Sebagai salah satu usaha pendigitalan kerajaan, hab e-pembelajaran baharu yang dikenali sebagai e-LATiH telah dibangunkan untuk membolehkan rakyat mengakses secara percuma lebih 300 modul latihan pengembangan kemahiran disediakan berdasarkan keperluan industri Malaysia.
Beliau turut menjelaskan, kerajaan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran akan memperkenalkan Dasar Pinjaman Boleh Ubah Program Pinjaman Latihan Kemahiran bagi peringkat Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir dalam negara, selain mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
“Strategi kedua Kerajaan ialah untuk membela hak mereka sebagai warga pekerja dengan lebih baik. Ini dilakukan melalui usaha pembaharuan undang-undang buruh yang menyeluruh.
“Dalam hubungan ini, pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] telah dilaksana dan dikuatkuasakan, selain penggubalan Ordinan Darurat (Pindaan) 2021 selaras dengan Proklamasi Darurat bagi membendung penularan wabak Covid-19 terutamanya yang melibatkan kluster penginapan pekerja.
“Melalui Ordinan Darurat ini, pemakaian Akta 446 juga telah diperluas ke Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurut Muhyiddin, kerajaan juga dalam proses menambahbaik dan meminda undang-undang perburuhan, contohnya Akta Kerja 1955 dengan meluaskan skop pemakaian kepada semua pekerja dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji, memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari dan pemberian cuti paternity selama tiga hari, menambahbaik amalan kerja dan kehidupan yang lebih seimbang melalui pengurangan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam, selain memperkenalkan aturan kerja fleksibel. – MalaysiaGazette