Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari India dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1.

Mutasi itu telah dikenal pasti hasil analisis keseluruhan jujukan genom (WGS) selepas saringan dibuat ke atas seorang warganegara India di pintu masuk utama negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang mengesahkan perkara itu berkata, analisis itu dijalankan pada 24 April hingga 1 Mei lalu.

”Berdasarkan laporan WGS, beberapa penemuan membabitkan 59 genom dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi tempoh dari 24 April hingga semalam.

“Ini termasuk 30 lagi varian membimbangkan (VOC), iaitu 27 varian Afrika Selatan B.1.351 dan tiga varian United Kingdom, UK B.117, malah kita menemui varian mempunyai kepentingan (VOI), iaitu varian dari India, B.1.617,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, kes mutasi berganda itu menyumbang hampir 60 peratus daripada penularan secara besar-besaran di India ketika ini.

”Varian mutasi berganda, B.1.617.1 mula ditemui di India pada 27 April lalu dan laporan Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) mendapati ia menular di sekurang-kurangnya 17 negara di seluruh dunia, tiga hari kemudian.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan mutasi berganda dari India itu mempunyai kadar pertumbuhan virus Covid-19 yang lebih tinggi, berbanding varian sedia ada di republik berkenaan, sekali gus dikhuatiri menjadi punca utama peningkatan jangkitan secara mendadak,” tambahnya.

Katanya, laporan turut mengesahkan kes pertama VOC B.1.351 di Perak dan Kelantan membabitkan kewujudan kluster dengan 10 kes positif di setiap negeri terbabit.

“Menerusi aktiviti pengesanan, kita juga merekodkan tambahan tujuh kes varian B.1.351 dan dua varian UK B.1.1.7 di Selangor,” katanya.

Tambahnya, satu kes varian UK B.1.1.7 turut direkodkan di Sandakan, Sabah, membabitkan seorang warga asing, juga merupakan kes pertama varian dari UK dalam kalangan individu tanpa sejarah perjalanan ke luar negara.

Ia kemungkinan daripada penularan tempatan.

Setakat ini, Dr Adham berkata, 48 kes varian Afrika Selatan, B.1.351 direkodkan, UK B.1.1.7 (8 kes), India B.1.617 (1 kes) dan varian Nigeria B. 1.525 (2 kes).

Selain itu, katanya, IMR mengesan satu kes C.36 daripada seorang individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir.

”Kita juga merekodkan peningkatan secara berperingkat-peringkat jumlah VOC, khususnya varian Afrika Selatan B.1.351 dalam sampel jujukan genom penuh, menunjukkan kemungkinan penggantian VOC (B.1.351) daripada baka tempatan B. 1.524,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Adham meminta seluruh rakyat bertenang dan bersama-sama memutuskan penularan ini demi keselamatan semua. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Macam mana virus ini hadir ke Malaysia?
    siapa pembawanya?
    Bila nak aidilfitri kes meningkat dan mudah KKM anggap sebagai jangkitan tempatan kalau tidak ada pembawa bagaimana ia boleh disebarkan..Adakah melaui haiwan,barangan atau manusia?

  2. SEMUA PUNCA DARI KKM, TAKNAK TUTP PINTU SEMPADAN, DIA BAGI JE BOARD DARI LUAR MASUK.. BILA KES NAIK SALAHKAN RAKYAT,, JIRRRR

Comments are closed.