Sembilan suspek termasuk empat wanita vietnam ditangkap dalam parti persendirian di sebuah hotel di Jalan Klang Lama tengah malam tadi.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menangkap sembilan individu termasuk lima wanita asing kerana terlibat dalam parti liar persendirian di sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama tengah malam tadi.

Serbuan itu dibuat sekitar jam 12.50 malam oleh Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Annuar Yusoff berkata, mereka yang ditahan itu terdiri daripada lima lelaki tempatan dan empat wanita Vietnam yang berusia antara 22 hingga 51 tahun.

Polis turut merampas sebanyak tiga botol arak, dua unit pembesar suara, satu unit pemacu pena dan beberapa barangan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil semakan lanjut polis mendapati kesemua suspek berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Kesemua mereka akan direman Isnin ini bagi meneruskan siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1) Akta Hotel Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 19 PPDPP Berjangkit 2021 (Akta 342).

Annuar berkata, daripada siasatan awal yang dibuat mendapati penganjur parti ini menerima tempahan melalui telefon sebelum menganjurkan parti liar di premis penginapan tersebut secara sembunyi.

Katanya, kegiatan ini beroperasi sejak dua bulan yang lalu dengan kadar bayaran sewa satu malam sebanyak RM1,500 bermula dari 6 petang hingga 6 pagi. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan