Takiyuddin Hassan Covid-19 positive
Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU – Kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan Undi 18 dalam masa terdekat pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, ketika ini, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih meneliti beberapa perkara sebelum dimuktamadkan dan menjangkakan ia dapat dilaksanakan Julai ini sekali gus akan membolehkan rakyat Malaysia berumur 18 tahun mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh memberi jangka masa yang tepat tetapi yang pasti dalam tahun ini juga. Kalau boleh buat Julai ini, kita akan buat,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada imam-imam masjid Jumaat, halaqat dan penghulu bagi Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata ,kerajaan menyokong serta amat komited memastikan usaha meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan iaitu menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dapat dilaksanakan.

“Itu memang menjadi hasrat kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk kerajaan memberikan hak kepada rakyat kita yang berumur 18 tahun mengundi dan menentukan kepimpinan negara kita,” katanya.

Menyentuh soal mengapa Undi 18 perlu mengambil masa sebelum dilaksanakan, beliau berkata, banyak perkara perlu diambil kira khususnya aspek perundangan.

“Apabila ada perubahan daripada segi polisi misalnya daripada umur 21 kepada 18 tahun ini, ada perundangan tertentu yang perlu dipinda dan ditambah baik kerana di bawah pilihan raya itu ada banyak undang-undang antaranya Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Akta Pilihan Raya serta ada peraturan-pertauran mengenai perjalanan pilihan raya dan sebagainya.

“Namun, SPR akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu berkaitan perundangan ini. Keduanya pula, isu teknikal juga perlu diambil tindakan oleh kerajaan terutamanya oleh SPR kerana apabila dibuka (undi 18 tahun) maka bilangan (pengundi) akan bertambah sekali gus perlu tambah baik perisian dan sebagainya,” katanya.

Ditanya mengenai kepentingan untuk meminda Perlembagaan berkenaan, Takiyuddin menjelaskan kebanyakan negara sudah mengamalkan minimum 18 tahun sebagai pengundi dan undang-undang di negara ini juga menggariskan usia berkenaan sebagai ‘age of maturity’. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast