Berpuluh-puluh tangki minyak musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kabul. foto AP

KABUL – Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh, 14 cedera dan lima yang lain hilang dalam letupan tangki minyak di Kabul.

Kejadian itu dilaporkan pada malam Sabtu, hari yang sama Amerika Syarikat dan NATO menarik keluar tentera dari Afghanistan.

Kebakaran berlaku setelah tangki minyak meletup di tepi jalan raya yang menghubungkan Kabul ke wilayah utara, yang mana mana sekitar 50 trak minyak diparkir untuk memasuki Kabul, lapor Tolo News TV.

Letupan awal menyebabkan rantaian letupan di daerah Shakar Dara di pinggir utara bandar, memusnahkan sekurang-kurangnya 50 trak bahan bakar.

Sebuah stesen minyak, beberapa kedai dan rumah juga musnah dalam kejadian itu.

Beberapa unit anggota bomba berada di lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran dan membantu mangsa-mangsa yang terjejas.

Kejadian itu mungkin berpunca daripada aktiviti pengganas kerana seorang pemandu trak mengatakan letupan itu disebabkan oleh letupan bom yang melekat pada salah satu trak, menurut laporan media.

Bekalan elektrik dihentikan di beberapa bahagian Kabul setelah letupan itu merosakkan tiang elektrik. – MalaysiaGazette