Geng Rohingya giat aktif dalam kegiatan samun dan pecah rumah di daerah Petaling Jaya tumpas dengan tertangkapnya tiga suspek lelaki asing baru-baru ini.Foto Ihsan IPD PJ.

PETALING JAYA – Tiga warga Rohingya yang disyaki suspek terlibat dalam kegiatan jenayah pecah rumah di sekitar Petaling Jaya ditahan polis pada 25 April lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima aduan daripada seorang mangsa warga emas yang menyedari rumahnya dipecah masuk berikutan semua pintu bilik tidur terbuka dan barang dalam keadaan berselerak semasa pulang ke rumah pada jam 7.30 pagi.

“Mangsa juga mendapati pintu grill tingkap bilik belakang telah diumpil dan pintu kaca tingkap juga telah dipecahkan.

“Rentetan kejadian ini, IPD Petaling Jaya telah melaksanakan satu operasi khas jenayah pecah rumah di kawasan pentadbiran Balai Polis Sea Park khususnya di kawasan perumahan Seksyen 14 Petaling Jaya, Selangor bermula 30 april hingga hari ini yang mana melibatkan pegawai kanan dan anggota polis seramai 14 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, operasi berkenaan telah membuahkan hasil pada Ahad lalu apabila sepasukan polis dari Balai Polis Sea Park yang sedang membuat ronda cegah jenayah di Seksyen 14, Petaling Jaya melihat sebuah kereta Volkswagen dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, semasa pasukan peronda polis hendak menjalankan pemeriksaan ke atas kereta dan suspek, berlaku pergelutan dengan suspek cuba bertindak agresif dan menyerang pihak polis.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek, pihak polis berjaya menemui dan merampas pelbagai barangan yang disyaki digunakan dalam melakukan jenayah pecah rumah.

“Ketiga-tiga suspek merupakan warganegara asing Rohingya berumur lingkungan 27 hingga 33 tahun itu mempunyai sehingga 12 rekod kesalahan jenayah lampau termasuk empat kes dadah .

Kereta Volkswagen yang dipandu tiga suspek geng samun Rohingya yang turut dirampas polis dalam tangkapan baru-baru ini. Foto Ihsan IPD PJ.

“Siasatan awal pihak polis mendapati, ketiga-tiga suspek juga terlibat dalam tiga kes pecah rumah yang dilaporkan tahun ini di sekitar perumahan Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor.

“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda serta sebatan,” ujarnya sambil menambah siasatan masih dilakukan.

Menurut Mohamad Fakhrudin, dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek, beliau percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan jenayah jalanan yang berlaku dalam daerah berkenaan. – MalaysiaGazette