Adham Baba

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berbincang dengan Kementerian Pertahanan untuk membuka hospital medan di Sarawak dan Kelantan.

Peribincangan itu perlu berikutan kedua-dua negeri terbabit menyaksikan peningkatan kes positif Covid-19 yang tinggi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya melihat ada keperluan untuk mewujudkan hospital medan seperti yang dilaksanakan di Tawau, ketika awal gelombang ketiga sebelum ini.

“Kita sedang berbincang dengan Kementerian Pertahanan supaya kementerian itu boleh mewujudkan hospital medan.

“Ia bagi menerima kes bukan Covid-19 supaya bebanan dalam hospital yang terjejas kerana kes Covid-19 dapat dikurangkan.

“Ia juga dapat menambah (penerimaan) kes Covid-19 di hospital terutama kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad kritikal,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Turut serta pada sidang media itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, setakat Mei, kadar pesakit kategori empat dan lima adalah sebanyak 35.4 peratus berbanding 25.2 pada bulan lalu dan 17.2 peratus pada Mac.

Pada Februari, kadar pesakit kategori sama adalah sebanyak 26.2 peratus dan 6.7 peratus pada Januari lalu. – MalaysiaGazette