Zarinah Mohideen

KUALA LUMPUR – Semua jenis industri perlu ditutup tanpa ‘pilih kasih’ sekiranya kerajaan bercadang untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam masa terdekat.

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen berkata, penutupan industri haruslah dibuat secara menyeluruh dan bukannya bersasar supaya langkah yang diambil lebih berkesan.

“Pihak kerajaan harus berlaku adil, sekiranya ada kemungkinan PKP akan dilaksanakan semula, semua industri harus ditutup dan bukan hanya bersasar kepada industri servis dan kecil sahaja.

“Wabak ini bukan semata-mata menular dalam sektor perkhidmatan sahaja tetapi sektor perkilangan dan pembinaan juga merupakan antara penyumbang utama.

“Jika tutup kesemua seperti PKP 1.0 yang dibuat pada tahun lalu, ia akan lebih berkesan dan adil buat semua industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zarinah berkata, pandemik Covid-19 merupakan permasalahan yang tidak berpenghujung melibatkan rakyat dan kesemua pengusaha.

Tambahnya, pengusaha majlis perkahwinan yang berdaftar di bawah persatuan juga semakin berputus asa dengan perniagaan yang dijalankan melihat kepada keadaan semasa negara.

“Kalau nak tutup industri, tutup lah semua. Jangan kami yang memberi servis kecil ini ditekan dan ditutup sementara kilang-kilang besar dan tapak binaan masih berjalan seperti biasa,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan PKP di negeri-negeri membabitkan kes Covid-19 yang tinggi bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, cadangan itu berikutan kes melebihi 3,000 angka bagi tempoh tiga hari berturut-turut dan tidak menunjukkan penurunan.

Berikutan itu, kementeriannya mengemukakan cadangan pelaksanaan PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Sarawak. – Malaysia Gazette

1 Komen

  1. Adakah berani kerajaan buat Lockdown total seperti tahun lalu?
    Apakah jaminan kerajaan kepada rakyat terjejas jika Total Lockdown ?
    Setakat perniagaan perkahwinan sebenarnya tidak memberi impak tinggi jika dibanding industri teknologi ,makanan atau pengangkutan yang memberi kesan jangka panjang kepada kelansungan hidup rakyat.Cukai daripada industri tersebut lebih besar kepada Kerajaan dan ia adalah kelansungan kehidupan sebuah negara .Pada PKP1.0 lebih kurang RM2.4b sehari Malaysia alami kerugian dan jika PKP3.0 laksanakan seperti PKP 1.0 boleh dianggarkan RM40b kerugian dan jika masih juga kes covid19 berlaku ,apakah ada PKP 4.0,PKP 5.0?
    Sepatutnya PKP bersasar sejak awal lagi dengan tumpuan kepada sesuatu tempat atau premis dilaksanakan .

Comments are closed.