Baru-baru ini majlis tahnik anak lelaki Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Muhammad Afwa yang dianjurkan pada 26 April lalu tular di media sosial kerana didakwa tidak mengikut SOP termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri melibatkan pendakwah bebas dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus.

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjelaskan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku melibatkan seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu pada majlis tahnik anak keduanya baru-baru ini.

Sebaliknya Siti berkata, individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.

Tambahnya, mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka.

“Sebaliknya beliau hanya singgah bagi menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini majlis tahnik anak lelaki Situ, Muhammad Afwa yang dianjurkan pada 26 April lalu tular di media sosial kerana didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri melibatkan pendakwah bebas dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus.

Berikut adalah kenyataan penuh Siti Nurhaliza.

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh

Berhubung isu yang sedang  tular ketika ini, kami sebagai tuan rumah, Dato Sri Khalid Mohamad Jiwa dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza ingin memberi pencerahan mengenai majlis tahnik anak lelaki kami, Muhammad Afwa yang kami anjurkan pada 26 April lalu yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri.

Dakwaan ini ditimbulkan apabila kami mengundang seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu. Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.

Memandangkan acara itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), atur cara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti  seperti yang tertakluk pada tempoh itu.

Majlis juga terbahagi kepada 3 sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ke-7 mengikut sunnah Rasulullah.

Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka.  Sebaliknya beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin.

Penjelasan ini bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu.

Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak. Kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan. Kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

Ini merupakan kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast