Perodua Ativa

KUALA LUMPUR – Perodua menganggarkan jualan sebanyak 20,399 kenderaan pada April – termasuk 4,624 unit Ativa, mewakili lebih 22% daripada jumlah tersebut.

Jumlah pendaftaran Ativa melonjak sejak pelancarannya pada 3 Mac lalu kepada hampir 9,000 unit.

Permintaan bagi Perodua Ativa kekal tinggi dengan purata hampir 290 tempahan diterima sehari.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, tempoh menunggu Ativa kini daripada dua hingga empat bulan, bergantung kepada warna dan varian yang ditempah.

Jualan 20,399 kenderaan Perodua pada April mencatatkan penurunan sebanyak 16.5% daripada 24,431 unit yang direkodkan pada Mac berikutan isu kekurangan cip semikonduktor yang memberi kesan negatif kepada pelbagai industri secara global.

”Walaupun isu kekurangan cip semikonduktor masih berlangsung secara global, Perodua berjaya menghasilkan 20,278 kenderaan pada April 2021, menjadikan jumlah pengeluaran kami setakat tahun ini sebanyak 80,661 unit,” katanya.

Jualan April 2021 melonjakkan jumlah jualan Perodua setakat tahun ini kepada 78,304 kenderaan, mewakili peningkatan 74% berbanding jualan 45,034 unit dalam empat bulan pertama 2020 berikutan pendaftaran minimum pada April 2020 akibat Perintah Kawalan Pergerakan pertama.

Katanya, isu kekurangan cip merupakan keutamaan Perodua buat masa ini dan sedang mengkaji kesemua sumber yang ada untuk menanganinya, termasuk bekerjasama dengan kerajaan dan rakan-rakan niaganya untuk mencari penyelesaian.

Zainal menambah, Perodua akan mengekalkan sasaran jualan 2021 pada 240,000 unit buat masa ini.

Sasaran jualan 2021 Perodua mewakili peningkatan 9% daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020 dan dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan.

Perodua juga mensasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit (+23% daripada 220,968 unit pada 2020) dan 2.4 juta pengambilan servis (+20% daripada 2 juta pengambilan servis pada 2020) bagi tahun ini. – MalaysiaGazette