Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki bercakap kepada media selepas Program Kerjasama Strategik JKKN dan SPRM di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan hanya dua pegawainya ditahan sehingga kini selepas disyaki terbabit dengan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Azam Baki berkata, kedua mereka masih lagi ditahan untuk siasatan.

Jelas beliau, setakat ini pihaknya tidak mendapat maklumat lanjut mengenai penahanan itu.

“Setakat yang tahu dua pegawai itu masih ditahan dan saya serah kepada pihak polis. Kalau boleh dituduh adalah semalam

“Hanya dua pegawai sahaja saya tahu dan sekiranya ada kes atau tidak terserah kepada polis,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki diiringi Ketua Pengarah JKNN, Mesran Mohd Yusop (kanan) menurunkan tandatangan sebagai gimik pelancaran pada Sidang Media Program Kerjasama Strategik JKKN dan SPRM di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2021.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) & SPRM di  Auditorium JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini penahanan dua pegawainya yang disyaki terbabit dengan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’sejak 27 April lalu.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan, berkata seramai 12 pegawai agensi penguat kuasa, termasuk seorang berpangkat Superintendan disyaki terbabit kumpulan jenayah terancang Geng Nicky ditahan melalui Op Pelican 3.0 sejak 21 April lalu hingga hari ini.

Beliau berkata, semua suspek itu berusia antara 36 hingga 49 tahun, termasuk dua pegawai SPRM

Katanya, operasi dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Melaka dan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Azam memberitahu, pihaknya tidak mengadakan siasatan dalaman dan kedua pegawai itu masih lagi status bertugas.

“(Siasatan) Dalaman tidak ada dan saya sahkan tidak ada yang lain terlibat.

“Mereka masih bertugas kerana siasatan sedang dijalankan. Kalau dituduh kita akan tahan kerja dan tunggu polis siasat dulu.

“Polis akan kemuka (kertas siasatan) kepada Pejabat Peguam Negara untuk sebarang keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette