KUALA LUMPUR – Indeks nilai seunit eksport bulan Mac lalu menunjukkan pertumbuhan positif 2.2% didorong oleh kenaikan semua seksyen terutamanya minyak galian (+8.3%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+4.0%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+1.0%).

Manakala indeks volum eksport turut mencatatkan trend yang sama dengan kenaikan dua digit 17.3%, disumbangkan oleh pertumbuhan indeks barang-barang keluaran kilang (+31.4%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+25.4%) dan pelbagai barang keluaran kilang (+18.3%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks volum eksport pelarasan bermusim merekodkan pertumbuhan kecil 0.3% daripada 162.7 mata kepada 163.1 mata.

Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 2.3% dan 28.0%.

Indeks nilai seunit import naik 1.0% pada Mac 2021 berbanding bulan sebelumnya.

Kenaikan ini disumbangkan oleh prestasi yang lebih baik bagi indeks minyak galian (+4.7%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.7%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.5%).

Sementara itu, indeks volum import bertumbuh 14.8% pada Mac 2021 berbanding bulan sebelum, yang disumbangkan oleh pengembangan indeks bahan kimia (+23.0%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+14.8%) dan barang-barang keluaran kilang (+13.7%).

Tambahnya, indeks volum import pelarasan bermusim pada Mac 2021 berkembang 3.3% daripada 157.2 mata kepada 162.4 mata. Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit import menyusut kecil 0.5% manakala indeks volum import meningkat 19.8%.

Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan terma perdagangan Malaysia meningkat 1.2% bulan ke bulan daripada 101.5 mata kepada 102.8 mata pada Mac 2021.

Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia turut kekal positif 2.9% daripada 99.9 mata pada Mac tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast