Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum menerima sebarang makluman daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kuota untuk rakyat negara ini menunaikan ibadat haji pada tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sehingga kini pihaknya masih menunggu keputusan kuota yang ditetapkan kepada kerajaan Malaysia.

“Sehingga sekarang kerajaan Arab Saudi belum lagi mengeluarkan kuota untuk rakyat kita menunaikan ibadat haji dan kita masih menunggu keputusannya.

“Bagaimanapun, kita jangkakan kuota jemaah ini berkurangan sedikit banding kuota 40, yang diberikan kerajaan kerajaan Malaysia sebelum ini,” katanya dalam satu majlis di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr. Tawfiq al-Rabiah dilaporkan berkata, antara syarat utama kemasukan jemaah haji Julai ini ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Namun, beliau tidak menyatakan jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan atau sebaliknya untuk menunaikan ibadat haji tahun ini.

Tahun lepas kerajaan Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji Malaysia kepada 1,000 orang sahaja bagi mengelak penularan Covid-19.

Menurut Ahmad Marzuk, kerajaan akan memenuhi syarat ditetapkan Arab Saudi terutama berkaitan suntikan vaksin.

Katanya, dalam apapun keadaan, Tabung Haji (TH) telah membuat persiapan awal dengan mengenal pasti nama yang diutamakan untuk menunaikan haji berdasar penilaian serta faktor kesihatan. – MalaysiaGazette