UMNO Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – UMNO tidak lagi boleh perpegang kepada tradisi bahawa presiden parti mesti memegang jawatan sebagai perdana menteri.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berpandangan, UMNO tidak boleh lagi mengamalkan konsep ‘one man show’ atau seorang tokoh saja bertindak sebagai dominan dan menguasai segala-galanya.

Ini kerana katanya, soal calon perdana menteri sememangnya penting dan UMNO hari ini masih belum mempunyai calonnya.

“Hari ini belum ada sebarang keputusan walaupun kita ada presiden, timbalan presiden, naib presiden, kita tahu. Maknanya kita bakal berdepan dengan keadaan itu sehingga sampai Pilihan Raya.

“Pilihan jajaran baru yang kita nak bergantung juga pada penerimaan kepimpinan UMNO hari ini bahawa inilah masa untuk berubah, inilah masa untuk memberi cara yang baru.

“Kita tidak perlu balik semula kepada kaedah presiden UMNO mesti jadi perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual Bicara Tokoh, yang disiarkan di Facebook Majlis Profesor Negara (MPN), hari ini.

Menurut Shahrir, UMNO sebelum ini dikenali sebagai sebuah parti dominan dan secara tradisinya presiden UMNO menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun katanya, tradisi UMNO menjadi Perdana Menteri terhenti selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Dalam pada itu Shahrir berkata, UMNO perlu mempunyai dua orang tokoh yang berkebolehan untuk menjaga parti dan seorang lagi bertindak mengetuai kerajaan.

Memetik kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn, yang mana pernah memberitahunya akan tiba masa UMNO berbeza kepimpinan parti, dan berbeza daripada kerajaan.

“Dia kata perkara itu akan terjadi. Sebab parti itu akan jadi lebih besar dan kerajaan akan jadi kompleks. Jadi soal urus tadbir kerajaan dan juga kepimpinan parti mungkin perlu kepada kemahiran atau kemampuan yang berlainan.

“Kita kata itu mungkin akan berlaku, tapi bukan semasa waktu dia sebab pada ketika itu masih mudah lagi, tidak kompleks lagi seperti kini,” ujarnya.

Sementara itu, Shahrir berkata, beliau melihat UMNO mampu membentuk jajaran baru untuk membentuk parti politik dan kerajaan, oleh kerana dianggotai oleh wakil-wakil parti yang mempunyai kebolehan urus tadbir yang tertentu.

“Dari yang kita lihat dan saya terangkan, parti sendiri sudah ada jurucakap dari bidang tertentu, dan sudah mula terima kunjungan duta-duta asing…Jadi keadaan ini adalah kes istimewa tidak pernah berlaku dalam sejarah negara dan UMNO sendiri.

“Jadi berani atau tidak kita melangkah ke jajaran baru ini?,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast