Petugas HKL membuat persiapan sebelum melakukan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Hospital Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2021.

Pesanan buat YB Ahli Parlimen Pembangkang…Diam itu lebih baik jika tidak tahu.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) membaca hujahan Ahli Parlimen pembangkang berkenaan vaksinasi dengan teliti dan tekun, namun seawal perenggan pertama lagi kita sudah dapat menghidu cubaan untuk menggunakan isu vaksin ini sebagai modal politik murahan mereka. Hujah yang dibentangkan juga lebih bersandar kepada emosi dan telahan.

Sumber-sumber anekdot yang malas dan terlalu cetek yang digunakan seakan-akan satu penghinaan kepada proses saintifik yang berlapis-lapis dan rintangan-rintangan regulasi yang terpaksa dilalui untuk membolehkan vaksin ini selamat untuk digunapakai untuk rakyat Malaysia.

Maka DPIM terpanggil untuk membetulkan kembali persepsi songsang yang cuba ditanam dalam minda pembaca dan rakyat secara umumnya. Ini adalah tanggungjawab kami kepada negara dan rakyat, agar persepi songsang ini yang datang daripada seorang Ahli Parlimen yang juga seorang peguam adalah sangat tidak sihat. Tatkala jumlah kes harian semakin meningkat, bukan ini mesej yang perlu dibawa oleh seorang Ahli Parlimen. Tiada perbezaan vaksin dari segi kayangan atau marhaen. Yang ada hanyalah keberkesanan dan kesan sampingan.

Adalah lebih baik jika Ahli Parlimen pembangkang menumpukan tenaga dan fokus mereka untuk memberi pencerahan akan kebaikan vaksin untuk individu, keluarga dan masyarakat umum serta pada masa yang sama memberikan buah fikiran yang adil dan ilmiah mengenai kesan sampingan setiap vaksin. Ianya tidak tertakluk kepada Pfizer mahupun Astra Zeneca (AZ) sahaja.

Rakyat perlu tahu, risiko kesan sampingan darah beku yang dikaitkan dengan vaksin AZ adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan risiko darah beku akibat COVID-19. Menggunakan hujah protes rakyat sebagai punca utama JKJAV tidak memasukkan AZ dalam program vaksin adalah mengelirukan.

Mengatakan vaksin AZ tidak selamat untuk golongan 60 tahun ke atas membuktikan YB Pembangkang tidak membuat kajian dan tidak membaca sumber-sumber yang tepat dan sahih. Majoriti kesan sampingan darah beku adalah dalam kalangan orang-orang yang jauh lebih muda. Rakyat perlu menggalakkan orang-orang tua mereka untuk mendapatkan vaksin ini, tiada data saintifik yang menyokong sentimen politik YB Pembangkang ini.

Ulasan mereka mengenai ‘sambutan VIP’ terhadap vaksin adalah dangkal.

Hujah ini mudah untuk dipatahkan, tentunya sambutan yang diberikan terhadap vaksin Pfizer adalah lebih meriah kerana ianya adalah vaksin pertama yang tiba untuk diguna di Malaysia. Liputan ini juga disiarkan ke seluruh Malaysia sebagai pendorong kepada rakyat Malaysia untuk mendaftar dan tampil ke depan untuk mendapatkan vaksin.

Ianya juga menjadi titik mula kepada fasa seterusnya dalam membendung wabak COVID-19 ini, setelah setahun lebih berperang, kehadiran vaksin seakan-akan memberi harapan baru dan menaikkan semangat petugas barisan hadapan dan juga rakyat untuk menewaskan penularan wabak ini.

Bekalan vaksin datang mengikut jadual yang ditetapkan pengeluar masing-masing dan jika di ikut kehendak YB Pasir Gudang, Pak Hassan, maka setiap minggu ada siaran langsung ketibaan vaksin.

Istilah “Russian Roulette” elok diganti dengan “shooting his own foot”.

Dalam hamburan pujian kepada YB Khairy Jamaluddin dan YB Dr Adham Baba, Ahli Parlimen Pembangkang menuduh kedua-dua individu yang bertanggungjawab terhadap program vaksinasi ini memperjudikan nyawa rakyat dengan menjemput rakyat yang mahu mendapat vaksin AZ untuk tampil secara sukarela.

da yang menuduh kerajaan bermain “Russian Roulette”, walhal yang berlaku adalah mereka telah menembak kaki mereka sendiri. Sekali lagi, keghairahan mereka untuk mencalit persepsi kotor pada program vaksin yang sudah dirancang rapi sejak awal lagi dengan menunjukkan kecenderungan mereka kepada hujah politik dan bukan berpijak pada bumi yang nyata.

DPIM berpendapat, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) cuba mendapatkan penyelesaian menang-menang atau “win-win” daripada polemik persepsi terhadap vaksin AZ. Daripada dibazirkan, lebih elok jika vaksin ini digunakan dan untuk mereka yang selesa dan faham mengenai konsep risiko darah beku dan kesan sampingan lain vaksin AZ ini, mereka boleh tampil secara sukarela. Vaksin tidak dibazirkan, rakyat dapat perlindungan.

Isu risiko dalam perubatan ini adalah bukan isu yang baru, setiap ubat kepada penyakit ada risiko tersendiri. Dalam kes vaksin ini, kesan sampingan yang sangat jarang ini nampak lebih besar kerana fokus seluruh dunia tertumpu kepada vaksin-vaksin ini.

Hujah rakyat menjadi tikus makmal adalah umpama menyokong golongan peragu vaksin (vaccine hesitant). Cubaan Ahli Parlimen Pembangkang untuk menampakkan keputusan YB Dr Adham Baba untuk menawarkan vaksin AZ kepada golongan 60 tahun ke atas sebagai tergesa-gesa dan juga mendedahkan ‘suntikan berisiko’ kepada golongan ini sekali lagi menunjukkan yang Ahli Parlimen Pembangkang tidak menjadikan sains sebagai dasar hujah mereka, hanyalah memancing emosi rakyat dan pada masa yang sama seolah-olah menjadi jurucakap kepada golongan peragu vaksin di Malaysia.

Vaksin AZ telah diteliti dan disahkan selamat oleh NPRA dan akan sentiasa diawasi. Ianya telah melalui fasa ujian klinikal yang rumit dan terperinci. Mengatakan rakyat jadi bahan ujikaji adalah hujah malas yang amat berbahaya dan boleh mempengaruhi rakyat supaya tidak medapatkan vaksin.

Akhir kalam, artikel tulisan Ahli-Ahli Pembangkang hanyalah mengundang sangsi dan curiga rakyat kepada program vaksin yang akan menjadi senjata utama negara untuk mengekang penyebaran wabak Covid daripada terus menular. Barisan hadapan negara sudah bertungkus lumus dan tanpa henti menabur bakti, jangan biarkan hujah emosi dan politikal ahli Parlimen menjadi penghalang kepada proses pemulihan kesihatan rakyat, dan sosio-ekonomi negara.

Seseorang yang berstatus ahli Parlimen, perlu lebih berhati-hati dalam berhujah dan DPIM menjawab hujah-hujah mereka atas semangat cintakan negara dan rakyat keseluruhannya.

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Timbalan Pengerusi IKATAN Kelantan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast