KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan kurangnya kemahiran digital menjadi penghalang kepada usaha peningkatan pendigitalan dalam kalangan masyarakat.

Berpandukan tinjauan Suruhanjaya Komunikasi dan  Multimedia Malaysia (SKMM),  hanya 50 peratus rakyat mempunyai kemahiran digital  standard, sementara hanya 25 peratus memiliki kemahiran digital  lanjutan. 

Jelas beliau, bagi menangani isu kemahiran ini khususnya bagi pengusaha perusahaan kecil dan sederhana  (PKS) untuk menerima pakai  pendigitalan, kerajaan menyalurkan pelbagai insentif dalam Belanjawan 2021.

Antaranya seperti Geran  Digitalisasi PKS berjumlah RM150 juta, Dana Transformasi Digitalisasi  Industri berjumlah RM1 bilion dan  Fasiliti Teknologi Tinggi berjumlah  RM1 bilion.

“SKMM telah membina 910 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara yang merupakan balai raya digital untuk  membimbing komuniti melengkapkan  diri dengan kemahiran digital seperti  perniagaan dalam talian, e-dagang. 

“Untuk merapatkan jurang digital dalam  kalangan masyarakat, terdapat keperluan memastikan bahawa setiap orang  mempunyai akses dengan kos berpatutan serta kemahiran diperlukan  untuk memanfaatkan internet menjelang  2030.  

“Dalam usaha kita menangani  krisis pandemik sekali gus meletakkan batu asas ekonomi Malaysia ke  arah lebih inklusif, mahu tidak mahu,  jurang digital antara rakyat wajib dirapatkan. 

“Meskipun keterangkuman digital bukanlah  satu-satunya jalan penyelesaian kepada ketidaksamaan, ia merupakan komponen  asas bagi membolehkan inklusiviti sosial  dalam kalangan rakyat tercapai,” katanya ketika Program Jaringan Prihatin itu secara maya di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin juga berkata, pihaknya sedar aspek liputan, penembusan dan kelajuan  rangkaian, masih banyak ruang yang  boleh diperbaiki terutama di sesetengah kawasan luar bandar berkepadatan rendah. 

Justeru, kerajaan telah memperuntukkan penaiktarafan perkhidmatan jalur lebar seluruh negara melalui pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang merangkumi  rancangan gentian optik serta meningkatkan liputan 4G berkualiti bernilai RM21 bilion menjelang 2022. 

“Kerajaan akan mempercepatkan penyediaan infrastruktur 5G dengan pelaburan swasta melalui usaha Digital Nasional Berhad yang dianggar  bernilai RM15 bilion.

“Insya-Allah usaha-usaha ini akan membantu mengurangkan jurang liputan dan kelajuan dalam tempoh lima tahun  akan datang,” ujarnya. -MalaysiaGazette