KUALA LUMPUR – Kerajan tidak berniat mahu menyusahkan rakyat susulan keputusan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergeralan (PKP) di beberapa negeri dan kawasan susulan peningkatan jangkitan Covid-19.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu terpaksa dilakukan kerana kerajaan sayangkan rakyat dan tidak mahu tragedi di India berlaku Malaysia menyebabkan negara lumpuh dan sukar dikawal akibat jangkitan naik mendadak.
“Saya harap rakyat kena faham bukan tujuan kerajaan untuk menyusahkan rakyat, saya tahu rakyat marah dan sebagainya, tujuan kita nak selamatkan nyawa rakyat.
“Kita tak mahu jadi seperti India kerana mereka terlalu relaks selepas beberapa pemimpin mereka isytihar India menang menentang Covid-19 akhirnya mereka beri kebebasan dan berlaku penularan kes dan kerajaannya sudah tidak mampu mengawalnya, jadi kita tidak mahu perkara ini berlaku kepada negara kita.
“Kita sayang rakyat kita, kita jaga nyawa rakyat kita. Kita tak mahu dianggap tak bertanggungjawab kalau perkara buruk berlaku kepada rakyat,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis berbuka puasa bersama pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Ismail turut menyuarakan kebimbangan jika rakyat gagal mematuhi SOP ditetapkan jumlah jangkitan Covid-19 dijangka boleh mencecah 5,000 selepas hari raya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak patuh kepada setiap arahan ditetapkan bagi memastikan peningkatan kes mencecah 5,000 sehari itu tidak berlaku.
“Kalau tak ada pematuhan dengan baik saya dimaklumkan melalui pembentangan KKM tidak mustahil lepas raya boleh meningkat sehingga 5,000 kes baru Covid-19 dan kalau keadaan itu masih gagal di sekar dengan kealpaan mematuhi SOP dan sebagainya mungkin boleh jadi sampai 10,000 sehari.
“Kalau sampai 10,000 kita mungkin jadi macam India, kita tidak mahu melihat rakyat kita mati bergelimpangan tepi jalan dan sebagainya, kita tengok di India tengah berdiri tunggu bas boleh jatuh dan meninggal, kita tidak mahu perkara itu berlaku di negara kita,” katanya,
Ismail turut memaklumkan bagi memastikan kes jangkitan dapat dikawal lebih berkesan, negeri-negeri diberi kuasa untuk mengeluarkan SOP lebih ketat.
“Kerajaan Kelantan dibenar keluarkan SOP lebih ketat, kita tak ada halangan kerana kes tinggi, dari segi kemampuan hospital sudah hampir penuh di Kelantan, ICU hampir habis dan Kelantan terpaksa buka hospital sementara, kerana bimbang tak cukup katil.
“Begitu juga di Selangor dan Kuala Lumpur kalau kes meningkat beterusan menyebabkan fasiliti hospital tak cukup, saya juga difahamkan hospital swasta yang kita wujud katil (rawat pesakit Covid-19) sudah hampir habis,” ujarnya.
Kerajan mengumumkan pelaksanaan PKP di beberapa kawasan selepas berlaku peningkatan kes Covid-19 antara Kelantan, Selangor, Terengganu, Johor, Perak dan Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette