Pusat asuhan kanak-kanak yang diserang oleh seorang remaja bersenjatakan parang. foto BBC

BRASILIA – Lima maut selepas seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang bersenjatakan parang menyerang sebuah pusat asuhan kanak-kanak.

Kejadian itu berlaku di bandar kecil Saudades, di negeri Santa Catarina.

Mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada dua kakitangan sekolah dan tiga kanak-kanak yang semuanya dilaporkan berusia di bawah dua tahun.

Seorang lagi kanak-kanak dilaporkan cedera.

Penyerang kemudian mencederakan dirinya dan dilaporkan dalam keadaan kritikal di hospital.

Setakat ini tidak jelas punca serangan itu.

Semasa kejadian lebih 12 orang kanak-kanak berada dalam pusat tersebut.

Polis tentera memaklumkan mereka menerima beberapa panggilan pada pukul 10:35 waktu tempatan (13:35 GMT) daripada orang awam yang melaporkan seorang lelaki bersenjatakan parang telah memasuki taska dan menyerang kakitangan dan kanak-kanak.

Polis berkata, lelaki itu – yang belum disebutkan namanya, mula-mula menyerang seorang guru yang berada di pintu masuk ke taska.

Dia kemudian memasuki salah satu bilik lalu menyerang kanak-kanak di situ.

Taman asuhan kanak-kanak ini terletak di pusat Saudades, sebuah bandar yang mempunyai populasi berjumlah kira-kira 9,000 orang dan menjaga kanak-kanak di bawah usia tiga tahun. – MalaysiaGazette