Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri yang dilaporkan mendera kanak-kanak di sebuah pusat tahfiz di Taman Tun Abdul Razak (TAR) akan dituduh di Mahkamah Majistret Ampang pagi esok.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 32 dan 52 tahun itu merupakan pemilik pusat tahfiz berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamed Farouk Esha berkata, pihaknya telah selesai menjalankan siasatan dan kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Suspek pertama iaitu tenaga pengajar tahfiz akan dituduh dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

“Manakala pertuduhan kedua adalah di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Seterusnya suspek kedua akan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada 26 April lalu, polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki mendera kanak-kanak di sebuah pusat tahfiz di Taman TAR.

Mohamed Farouk berkata, pasangan tersebut yang juga pemilik pusat tahfiz ditahan sepasukan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan di premis berkenaan, polis turut menyelamatkan lapan pelajar lelaki berusia antara tujuh hingga 15 tahun yang mendakwa didera oleh kedua-dua suspek.

Hasil siasatan mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun iaitu anak kepada pengadu mengalami kesan kecederaan baharu dan lama pada keseluruhan badannya hasil daripada pemeriksaan di hospital.

Sementara itu, pada 28 April lalu, media melaporkan tiada sebarang unsur penderaan dikesan ke atas lapan lagi pelajar yang menuntut di pusat berkenaan selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Ampang. – MalaysiaGazette