Penumpang samun bersenjata ke atas pemandu grab ditahan sekitar jam 3.30 pagi tadi di ibu negara.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis pada awal pagi tadi kerana disyaki menyamun pemandu e-hailing.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian seorang pemandu Grab Car tdisamun oleh penumpangnya di Jalan Prima 1 Kepong pada petang 27 April lalu.

“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku semasa pengadu warga tempatan berusia 41 tahun sedang memandu kenderaan e-hailing untuk menghantar seorang penumpang lelaki.

“Secara tiba-tiba penumpang tersebut telah mengacukan sebilah pisau di leher pengadu dan memaksa pengadu menyerahkan wang miliknya sebelum bertindak menyemburkan cecair pemedih mata di muka pengadu.

“Suspek kemudian terus merampas telefon bimbit milik pengadu dan keluar melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, polis yang menahan suspek pada jam 3.30 pagi tadi turut merampas wang tunai, sebuah telefon bimbit dan sebotol Paper Spray.

“Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek kini ditahan reman selama enam hari sehingga 10 Mei 2021 dan kes disiasat dibawah Seksyen Sek 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dengan senjata yang memperuntukkan penjara selama tempoh 14 tahun dan juga dikenakan sebat,” ujarnya.

Berikutan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun sejak seminggu lalu, ujarnya.

Oramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206. – MalaysiaGazette