Tiga remaja yang ditahan kerana terlibat dalam kes pecah pejabat sekolah.

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima remaja kerana dipercayai terlibat dengan beberapa kes pecah pejabat sekolah di Lembah Klang, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya berjaya memberkas lima remaja terbabit yang berusia lingkungan 15 hingga 16 tahun dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Menurutnya, antara peralatan yang dilaporkan hilang dalam kes tersebut iaitu tujuh unit komputer riba, 11 unit telefon bimbit berjenama Yes dan wang tunai berjumlah RM2,000 dengan anggaran kerugian keseluruhan berjumlah RM20,000.

“Kita turut merampas empat buah telefon bimbit yang merupakan hak milik sekolah terbabit daripada suspek.

“Kesemua mereka telah ditangkap pada 30 April lalu dan direman selama lima hari.

“Bagaimanapun, kesemua suspek ditahan semula hari ini ekoran terbabit dengan beberapa kes pecah sekolah lain yang dilakukan di daerah Klang Selatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, berdasarkan siasatan kesemua suspek terbabit telah mengaku terlibat dalam 17 kes pecah sekolah yang dilakukan di Klang Selatan, Klang Utara, Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Kubu Baru, Subang Jaya dan Kuala Lumpur.

Ujarnya, polis kini sedang mengesan enam lagi suspek yang masih bebas di mana tiga daripadanya dikenalpasti dengan nama Faris, Azri dan Vicky.

Tambahnya, polis membuka kertas siasatan bagi kes tersebut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette