Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan secara terperinci dan tuntas terhadap segala jenis laporan diterima berkenaan salah guna kuasa yang berlaku di negara ini.

Menurut Ketua Pejuang Muda, Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin, kesalahan di bawah akta SPRM tidak hanya terhad kepada meraih sokongan dan melibatkan pemberian atau penerimaan wang sahaja.

Sebaliknya, ia turut merangkumi penyalahgunaan kuasa, kedudukan atau jawatan penting di dalam sesebuah pentadbiran.

“Apa yang ingin kami sampaikan adalah meminta SPRM supaya tidak mencari ruang untuk melepaskan mana-mana individu tetapi meneruskan siasatan secara komited, terperinci dan tuntas serta memberitahu kepada rakyat apa sebenarnya status siasatan tersebut.

“Ia nya tidak boleh untuk sekadar disimpan sedangkan SPRM mampu dan boleh untuk melakukan siasatan terhadap laporan-laporan yang dibuat,” katanya menerusi satu sidang media yang julung kali diadakan oleh Pejuang Muda, di sini, hari ini.

Abu Hafiz berkata demikian sebagai merujuk kepada laporan yang dibuat kepada SPRM berkenaan audio ‘scheme of thing’ yang pernah tular di laman sosial mengkaitkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jun tahun lalu.

Terbaharu, menurut Abu Hafiz, Pejuang Muda turut membuat laporan kepada SPRM mengenai pengakuan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamzah Zainuddin tentang suara disebalik rakaman audio perbualan mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya ingin menyatakan bahawa pada 1 Jun tahun lalu kita ada membuat laporan minta disiasat ketulenan dan kaitan (audio) dengan Perdana Menteri Kelapan namun SPRM sehingga lah hampir setahun tidak memberikan sebarang perkembangan daripada apa yang kami laporkan.

“Rakaman suara itu tidak diketahui sama ada telah disiasat dengan terperinci tentang keabsahannya atau pun tidak kerana saya sebagai pengadu juga tidak menerima sebarang perkembangan sehingga kini.

“Kami ingin tegaskan kepada SPRM bahawa sebagai sebuah suruhanjaya mereka bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas dengan amanah dan telus terhadap negara yang mengatasi mana-mana individu,” ujarnya.

Sementara itu, merujuk kepada rakaman audio suara Hamzah, beliau menuntut Menteri itu supaya bercuti atau pun digantung tugas bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan lebih berintegriti.

“Rakaman suara yang diakui sendiri oleh Hamzah maka beliau sepatutnya dicutikan atau digantung tugas ketika mana siasatan ini berlangsung.

“Adalah amat tidak adil beliau terlibat dengan rakaman atau pun ‘tapping’ tersebut dan beliau akui suaranya tetapi dalam masa sama beliau sendiri membuat penilaian terhadap suara itu atau kandungan perbincangan sebagai tidak ada masalah jenayah.

“Ini adalah amat tempang dan canggung, beliau sebagai Menteri KDN dan kemudian buat penilaian bahawa ini tidak ada masalah jenayah.

“Jelas itu bukan keputusan beliau kerana beliau bukan penguatkuasa atau pun pegawai penyiasat atau pun ‘AG Chamber’ untuk memutuskan sama ada terdapat kes atau pun tidak, maka itu adalah juga salah satu daripada bentuk salah guna kuasa kerana beliau secara terbuka mengatakan beliau tidak buat salah berdasarkan intipati kandungan audio yang sangat-sangat serius,” ujarnya. –

Dalam pada itu, Abu Hafiz turut menyatakan PDRM tidak sewajarnya dibiarkan bergelumang dengan anasir-anasir politik dan digunakan secara peribadi oleh mana-mana pihak.

Katanya lagi, imej PDRM dan SPRM akan terus tercalar selain kepercayaan rakyat akan semakin terhakis sekiranya pasukan dan suruhanjaya itu apabila disalahguna oleh mana-mana ahli politik yang memegang kuasa di dalam pentadbiran kerajaan. – Malaysia Gazette