Halima Cisse. foto FB Halima Cisse

BAMAKO – Seorang wanita Mali dilaporkan selamat melahirkan sembilan bayi (nonuplets) pada hari Selasa.

Kehamilan Halima Cisse, 25, telah menarik perhatian ramai kerana pada awalnya dia dikatakan mengandung tujuh bayi (septuplets) yang jarang berlaku.

Wanita bertuah itu telah dihantar ke hospital di Maghribi pada bulan Mac lalu bagi memastikan dia mendapat penjagaan lebih baik.

Semasa tempoh mengandung, para doktor telah melahirkan kebimbangan terhadap kesihatan Cisse dan peluang hidup bayi-bayi tersebut, menurut laporan akhbar tempatan.

Sebahagian daripada sembilan bayi yang dilahirkan Halima Cisse.

Ketika itu, Kementerian kesihatan Mali dalam satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan ultrasound yang dilakukan di Mali dan Maghribi menunjukkan Cisse mengandung sebanyak tujuh bayi.

Bagaimanapun jurucakap Kementerian Kesihatan Maghribi, Rachid Koudhari tidak dapat mengesahkan kelahiran luar biasa itu.

“Bayi yang baru lahir (lima perempuan dan empat lelaki) dan ibu semuanya sihat,” kata Menteri Kesihatan Mali, Fanta Siby, dalam satu kenyataan.

Ibu bayi itu melahirkan bayinya secara pembedahan dan mereka akan dibawa pulang ke Mali beberapa hari lagi.

Siby mengucapkan tahniah kepada pasukan perubatan Mali dan Maghribi, yang begitu profesional dalam menyambut kelahiran luar biasa ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast