Timbalan Menteri Pertanian (I), Datuk Seri Ahmad Hamzah menyerahkan sumbangan MAQIS kepada wakil Zoo Negara di Wisma Tani hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menyerahkan sumbangan bekalan makanan bernilai RM78,000 kepada Zoo Negara.

Bekalan makanan itu berupa produk daging ayam dan kerbau sejuk beku hasil rampasan yang telah dilucuthakkan membabitkan kes dari bulan Januari sehingga Mac 2021.

Secara keseluruhannya, MAQIS menyumbangkan sebanyak 740 karton atau 9 tan ayam sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM72,000 dan 520 kilogram (kg) bagi daging kerbau sejuk beku dengan anggaran bernilai RM6,000 yang datangnya dari negara India.

Kesemua ayam sejuk beku ini telah ditahan semasa cuba dibawa masuk dari negara jiran ke Malaysia melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam Kedah, manakala bagi daging kerbau sejuk beku pula adalah dari negara India yang mana melalui pintu masuk NBCT, Pulau Pinang.

”MAQIS sangat komited membantu Zoo Negara dalam memastikan bekalan makanan haiwan mencukupi selain terus memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal.

”Inisiatif ini juga diharap dapat membantu Zoo Negara dari segi bekalan makanan haiwan,” kata MAQIS. – MalaysiaGazette