Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang kini menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri tersebut.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah menyerahkan laporan analisis risiko terkini negeri itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membolehkan MKN menentukan fasa pelaksanaan PKP.

“Secara keseluruhan sehingga kini sebanyak 20,945 kes Covid-19 dilaporkan di negeri ini dan hari ini saja Pulau Pinang mencatatkan 305 kes.

“Survelan harian kembali menunjukkan trend peningkatan sejak pertengahan minggu epid 17. Kadar kebolehjangkitan, R-naught (Rt) juga telah melebihi 1.00 iaitu 1.13 (1.08 – 1.18) semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kon Yeow, semua daerah berstatus zon merah dan Daerah Timur Laut saja mencatatkan bilangan kes aktif mencecah 722 dalam tempoh 14 hari.

Jelas beliau, Pulau Pinang juga mula melaporkan kluster melibatkan warga sekolah dan kluster berkaitan aktiviti sosial.

“Setakat ini 14 kluster aktif dilaporkan di negeri ini iaitu sektor perkilangan (8); institusi pendidikan (2); aktiviti sosial (2); dan masing-masing satu membabitkan pusat tahanan serta tapak pembinaan.

“Kes sporadik juga menunjukkan peningkatan ketara sejak 30 April lalu.

“Pecahan kategori mengikut kluster sedia ada (28.9 peratus); kontak rapat (27.9 peratus); saringan bergejala (20.3 peratus); saringan kendiri (11.1 peratus) dan lain-lain saringan (11.8 peratus),” ujar Kon Yeow.

Artikel berkaitan: PKP lebih ketat di Pulau Pinang bendung Covid-19

MalaysiaGazette pada Isnin lalu melaporkan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memberi bayangan kemungkinan negeri itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat dalam masa terdekat.

Katanya, pihak kerajaan negeri akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi memastikan penularan wabak Covid-19 dibendung. – MalaysiaGazette