Sebahagian dadah yang ditemui dalam reban ayam di sebuah kebun di Ampang Jajar, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Penahanan seorang lelaki di Mak Mandin, Butterworth pada Isnin lalu membawa kepada penemuan sejumlah dadah yang sorok dalam reban ayam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 30 tahun itu dibuat pada jam 10.30 pagi sebelum pihaknya merampas dadah jenis syabu dan Erimin 5 bernilai RM5,300 dipercayai milik suspek.

Katanya, berpandukan pada maklumat suspek membawa polis ke lokasi penyimpanan bekalan dadah di sebuah kebun di Ampang Jajar.

“Hasil pemeriksaan ke atas reban ayam di dalam kebun itu, kita menemui dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM15,960.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM21,320. Selain itu, kami turut menyita tiga buah motosikal dipercayai hasil kegiatan haram itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Noorzainy, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah.

Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) serta Seksyen 15(1)(a) akta sama. – MalaysiaGazette