Ariffin Zakaria.

KUALA LUMPUR – Tun Arifin Zakaria dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang baharu berkuatkuasa hari ini, selain menjadi Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB).

Beliau menggantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Arifin adalah Ketua Hakim Negara antara tahun 2011 dan 2017 dan merupakan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dari tahun 2008 hingga 2011.

Sebelum itu, Tun Arifin telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Pejabat Kehakiman dan juga Jabatan Perundangan Kerajaan Malaysia, termasuk sebagai Majistret, Presiden Mahkamah Seksyen, Peguam Persekutuan dan Peguam Kanan Persekutuan, Penasihat Undang-undang kepada Kementerian Perusahaan Utama dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam, serta Timbalan Penggubal Parlimen dan Peguam Persekutuan Kanan Jabatan Hasil Dalam Negeri.

Beliau mengikuti pengajian Undang-undang di University of Sheffield, United Kingdom (UK) dan mendapat ijazah Sarjana Undang-undang (LL.M) dari University College London, UK pada tahun yang sama beliau dipanggil ke English Bar.

Dalam kenyataan yang sama, YPB juga mengumumkan pelantikan Datin Norazah Razali ke Lembaga Pengarah PNB berkuatkuasa hari ini.

Norazah merupakan Penasihat Kanan di Boston Consulting Group (BCG), yang berperanan menyokong dan menasihati perniagaan dan organisasi di seluruh Asia Tenggara.

Beliau membawa bersamanya lebih daripada 20 tahun pengalaman perundingan strategik dan pengurusan yang mengkhususkan dalam transformasi perniagaan dan organisasi, penstrukturan, strategi yang dipacu pertumbuhan, pengembangan bakat dan kepemimpinan, serta tadbir urus.

Norazah memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Sekolah Pengurusan, Imperial College London, UK. -MalaysiaGazette