KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, sudah tiba masanya untuk parti itu mewujudkan jurang pemisah antara kepimpinan parti dengan urus tadbir kerajaan.
Tegas beliau, perkara itu perlu dikaji semula dan sesuatu perlu dibuat oleh parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersandarkan kepada keperluan mendesak sekarang.
“Mungkin sudah tiba masa untuk adanya pemisahan antara kepimpinan parti dengan urustadbir kerajaan supaya konsep ‘parti itu kerajaan dan kerajaan itu parti’ dikaji semula. Mungkinkah konsep ini tidak lagi sesuai pada zaman ini dan yang mendatang?
“Patutkah jajaran baru untuk UMNO dan perjuangannya ialah bagi membawa pula konsep ‘parti menguasai kerajaan’ tetapi dengan fahaman adanya ruang saling hormat antara ‘kerajaan’ dengan ‘pentadbiran awam’? soal Shahrir.
Mengulas lanjut, UMNO mempunyai kekuatan sebagai sebuah parti politik kerana telah meletakkan suara akar umbi sebagai hala tuju parti.
“Setelah 75 tahun sebagai sebuah parti politik, keadaan luarbiasa yang dihadapinya hari ini membuka peluang untuk UMNO mereka kembali kepimpinannya dalam politik negara,” katanya lagi.
Bekas pengerusi FELDA itu berkata cadangan beliau diutarakan kepada UMNO semata-mata bagi memastikan perjuangan parti itu bertahan lama.
Selasa lalu, Shahrir berpendapat UMNO tidak boleh lagi berpegang pada tradisi presidennya mestilah menjadi calon perdana menteri.
Katanya, UMNO tidak boleh lagi mengamalkan konsep ‘one man show’ atau seorang tokoh saja bertindak sebagai dominan dan menguasai segala-galanya. – MalaysiaGazette