Pelancaran bank bergerak disempurnakan oleh Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak.

KUALA LUMPUR – Agrobank melancarkan bank bergerak pertamanya di sembilan kawasan bagi membantu komuniti luar bandar Sarawak.

Bank bergerak ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Agrobank bagi membantu golongan yang kurang mendapat perhatian ke arah mencapai rangkuman kewangan serta memperluaskan akses pembiayaan yang juga merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak dan Bank Negara Malaysia Sarawak.

Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata, perkhidmatan itu ditawarkan di wilayah selatan Sarawak iaitu; Padawan, Bau, Lundu, Sematan, Linggan, Pantu, Tebedu, Asajaya dan Sebuyau.

”Bank ini akan terus memberikan komitmen yang berterusan dalam menyokong inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak dalam mencapai rangkuman kewangan serta pada masa sama membantu pertumbuhan ekonomi komuniti luar bandar,” katanya.

Mustapha berkata, lebih daripada 72% cawangan dan kiosk Agrobank terletak di kawasan luar bandar.

Menurutnya, usaha Agrobank ini telah dilaksanakan seawal tahun 1994, yang mana bank tersebut pada ketika itu telah melancarkan Patriot Rejang.

Ia merupakan perkhidmatan perbankan bergerak pertama seumpamanya di Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan perbankan atas bot yang merentasi Sungai Rejang khusus buat komuniti di Kapit, Sibu dan Belaga. – MalaysiaGazette