Suspek (baju biru) dibawa ke Mahkamah Taiping untuk mendapatkan perintah reman hari ini.

TAIPING – Seorang doktor kerugian RM850,000 akibat diperdaya sepasang suami isteri dalam urusan mendapatkan tender projek pengairan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pasangan berkenaan mendakwa mereka merupakan kontraktor binaan pelbagai projek kerajaan di Perak bagi memperdayakan mangsa berusia 37 tahun itu.

Jelas beliau, suspek meminta mangsa membuat pembayaran selepas berjanji boleh mendapatkan tender projek menaik taraf sistem pengairan di Bota Kiri, Perak serta Pasir Puteh, Kelantan.

“Susulan itu, mangsa melakukan trasaksi pemindahan wang ke akaun bank sebuah syarikat berjumlah RM375,000 pada bulan Februari 2018 dan diikuti RM475,000 pada bulan Jun ke akaun bank milik seorang individu.

“Mangsa dijanjikan akan mendapat keuntungan dalam tempoh tiga bulan, namun selepas hampir setahun menunggu tiada pulangan diterima malah kedua-dua suspek memberikan alasan tidak munasabah kepada mangsa.

“Tidak puas hati dengan tindakan pasangan itu, mangsa rujuk dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Perak serta Kelantan sebelum mendapati tender itu sebenarnya tidak wujud,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Osman, sedar menjadi mangsa penipuan dua suspek itu, doktor berkenaan tampil membuat laporan.

“Bertindak atas laporan pihak polis menahan suspek lelaki berusia 46 tahun di Jalan Sungai Senam, Ipoh semalam.

“Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” ujarnya.

Tambah beliau, usaha mengesan isteri suspek masih giat dijalankan. – MalaysiaGazette