Perodua memperkenalkan Care Seat, kerusi keselamatan kanak-kanak baharu yang sesuai untuk bayi dan kanak-kanak kecil, yang menawarkan lebih fleksibiliti, praktikal dan nilai kepada ibu bapa di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Perodua memperkenalkan Care Seat, kerusi keselamatan kanak-kanak baharu yang sesuai untuk bayi dan kanak-kanak kecil, yang menawarkan lebih fleksibiliti, praktikal dan nilai kepada ibu bapa di Malaysia.

Ditawarkan pada harga RM680 di Semenanjung Malaysia dan RM695 di Sabah/Sarawak, Perodua Care Seat itu sesuai untuk kanak-kanak dari semua peringkat umur sehingga 12 tahun, menggantikan kerusi keselamatan kanak-kanak GearUp Infant dan Toddler sebelumnya, kata syarikat dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata Perodua Care Seat merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyumbang ke arah tahap keselamatan jalan raya yang lebih tinggi sebagai syarikat yang prihatin dan mengutamakan insan, selari dengan aspirasi kerajaan.

“Untuk keselamatan mereka, kanak-kanak haruslah ditempatkan dalam kerusi keselamatan kanak-kanak sebelum kenderaan bergerak.

“Bagi menggalakkan amalan ini, Perodua memperkenalkan produk yang lasak, mudah disesuaikan, selesa, mampu milik dan memenuhi piawaian keselamatan,” katanya.- BERNAMA