Khemah dalam kawasan semak untuk mengaburi mata pihak berkuasa berkaitan aktiviti judi di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Taktik sekumpulan kaki judi bertaruh dalam kawasan semak berhampiran sebuah stor penyimpanan sayur di Jalan Mushi Abdullah di sini berjaya dibongkar polis awal pagi tadi.

Kaki judi tersebut dikatakan bermain judi jenis pakau di bawah khemah kanvas yang didirikan khas di lokasi tersembunyi itu.

Seramai 16 kaki judi diberkas ketika leka bertaruh judi pakau di kawasan Munshi Abdullah, Pulau Pinang hari ini.

Serbuan Ops Dadu bermula jam 1.45 pagi itu dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang yang diketuai Asisten Superintendan Mohd Fairuz Mostafa.

Dalam serbuan itu, ada kaki judi cuba meloloskan diri sebaik pihak polis menyerbu kawasan berkenaan namun tindakan pantas anggota polis berjaya mengagalkan tindakan mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, seramai 16 lelaki berusia lingkungan 23 hingga 54 tahun diberkas dalam serbuan tersebut.

Katanya, turut ditahan seorang penganjur berusia 50 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka terlibat dengan pertaruhan judi jenis daun pakau dan aktiviti perjudian di kawasan terbabit aktif sejak seminggu lalu.

“Selain berjudi, kesemua suspek juga didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasa ketika ini.

“Dalam serbuan itu, kita merampas wang tunai hampir RM10,000, 52 keping daun pakau, jam digital serta empat meja bersama kaki besi, “katanya ketika dihubungi hari ini.

Pegawai polis sedang memeriksa jumlah wang taruhan di lokasi serbuan.

Menurut Rahimi, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk dokumentasi dan dikenakan kompaun kerana ingkar dengan PKPB.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c),Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala tindakan kompaun diambil dibawah Peraturan 19(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No. 4) 2021.

Dalam perkembangan sama, Rahimi menegaskan, tindakan secara agresif oleh pihak polis akan berterusan ke atas semua aktiviti haram dan juga bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri itu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam aktiviti sedemikian selain mengalukan sebarang maklumat daripada masyarakat sekiranya mengetahui sebarang kegiatan jenayah dan aktiviti haram yang dilakukan. – MalaysiaGazette