Pelajar USIM berkumpul di Dewan Tuanku Canselor sebelum bergerak pulang menggunakan bas universiti

NILAI – Kumpulan pertama pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) seramai 181 orang selamat bertolak pulang ke kampung halaman masing-masing ke Kelantan dan Terengganu pada pada hari ini.

Kesemua mereka dihantar pulang menggunakan tujuh buah bas universiti melalui inisiatif Program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bermula pada 7 Mei hingga 12 Mei 2021.

Seramai 1,979 pelajar USIM yang berada di kampus terlibat dalam program pergerakan pulang ini dengan 538 orang daripadanya memilih untuk pulang ke kampung menggunakan kenderaan universiti.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar menyediakan 18 buah kenderaan universiti iatu bas dan kenderaan pelbagai guna (SUV) untuk menghantar kumpulan pelajar ini secara berfasa ke zon-zon yang telah dikenalpasti.

Pematuhan SOP yang ketat dilaksanakan seperti pelajar wajib membuat imbasan suhu sebelum dibenarkan menaiki bas.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, pergerakan pelajar USIM yang diuruskan penghantaran mereka oleh universiti akan berjalan selama selama empat hari mulai Sabtu (8 Mei) hingga Selasa (11 Mei ) ke 12 buah negeri.

“Kumpulan pelajar ini akan bertolak dari Dewan Tuanku Canselor mengikut jadual masa dan hari bertolak yang telah siap disusun oleh jawatankuasa khas yang kita bentuk bagi memastikan kelancaran operasi ini. Pada pagi ini kita menghantar kumpulan pertama pulang Kelantan dan Terengganu dan Alhamdulillah, proses ini berjalan lancar”.

“Pergerakan terakhir adalah pada Selasa hadapan iaitu ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Kenderaan yang membawa pelajar ini akan berhenti di stesen-stesen bas utama yang kita kenalpasti sebelum dijemput oleh ahli keluarga.

Mohd Rushdan Mohd Jailani

”Kumpulan pelajar yang tidak pulang menggunakan kenderaan universiti hanya dibenarkan oleh universiti untuk pulang kenderaan sendiri dan dijemput oleh ibu bapa atau penjaga. Pergerakan menggunakan kenderaan awam adalah tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan” ujarnya.

“Semua pelajar ini kita wajibkan mendaftarkan maklumat mereka secara atas talian (online) di capaian khas yang kita sediakan dan turut diberikan Surat Kebenaran Rentas Daerah/Negeri daripada USIM sebagai rujukan kepada pihak berkuasa” tambahnya.

Pergerakan pelajar ini melibatkan kerjasama padu pelbagai jabatan khususnya Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLMJI) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi memastikan operasi ini mematuhi SOP, berjalan lancar serta semua pelajar tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat.

Seramai 66 orang pelajar memilih untuk terus tinggal di kampus semasa cuti Hari Raya Aidilfitri nanti dan pihak universiti melalui PRUPEL dan BHEP akan memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa diberi perhatian.- MalaysiaGazette