Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mempelawa penduduk sekitar Kajang dan Semenyih menyertai program saringan percuma Covid-19 yang diadakan hari ini.

Beliau berkata, saringan diadakan di Dewan Cempaka Saujana Impian dan Dewan Orang Ramai Bandar Rinching dari pukul 9 pagi hingga 4 petang.

“Warga Kajang dan Semenyih yang menetap di kawasan berhampiran dijemput untuk menjalani ujian saringan Covid-19 ini.

“Pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my,” kongsinya di Facebook.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri bermula esok hingga 10 Jun.

Program di bawah fasa mitigasi wabak pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka. – MalaysiaGazette