Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM30,000 berjaya dikumpul oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) menerusi konsert amal virtual yang dianjurkan dengan kerjasama sekumpulan penyanyi tempatan baru-baru ini.

Justeru menurut Presiden MTC, Uzaidi Udanis, dana itu akan disumbangkan kepada 100 pemandu bas pelancong.

Beliau berharap, bantuan itu dapat digunakan untuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada penderma-penderma membantu kami dan rakan-rakan kami. Saya harap bantuan kami ini membantu sedikit sebanyak untuk persediaan pemandu bas pelancong.

“Saya harap penggiat-penggiat industri kekal bertahan jangan putus asa,” katanya ketika sidang media khas Penyampaian Bantuan Khas Kepada Pemandu Bas Persiaran yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang diadakan secara Zoom hari ini.

 

Uzaidi turut memberi jaminan akan meneruskan inisiatif yang sama untuk membantu pemandu bas pelancong dalam negara.

Sidang media khas Penyampaian Bantuan Khas kepada Pemandu Bas Persiaran yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang diadakan secara Zoom hari ini.

“Insya-Allah ini adalah fasa pertama dan kami harap kami dapat meneruskan inisiatif ini secara persendirian dan mendapat sokongan rakyat Malaysia untuk kumpul dana bantu rakan-rakan kami yang terkesan teruk,” tambahnya.

Untuk rekod, konsert amal secara virtual yang dianjurkan majlis berkenaan telah berlangsung pada 30 April lalu dengan menampilkan penyanyi Hakka iaitu Zhang Shao Lin, Zhang Shui Rong Chang Sau Ling.

Dimaklumkan, seramai 20,000 orang awam yang menonton dan menderma ketika konsert berkenaan.

Sementara itu, Uzaidi turut berharap agar industri tersebut mendapat perhatian daripada kerajaan supaya penggiatnya dapat meringankan beban masing-masing ketika pandemik ini.-MalaysiaGazette