Lonjakan kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 mendorong Pakistan melaksanakan sekatan pergerakan menjelang Aidilfitri. foto BBC

ISLAMABAD – Pakistan mengumumkan sebahagian sekatan pergerakan selama lapan hari menjelang perayaan Aidilfitri minggu depan.

Perniagaan dan tempat pelancongan yang tidak penting mesti ditutup dan perjalanan ke seluruh negara disekat mulai 8 hingga 16 Mei ini.

Tindakan itu dibuat selepas Pakistan menghadapi gelombang jangkitan koronavirus ketiga, mencatat lebih dari 140,000 kes dan 3,000 kematian pada bulan April.

Kerajaan Pakistan memberi amaran bahawa sekatan mungkin diperlukan memandangkan peningkatan kes-kes di negara jirannya iaitu India.

Pakistan mencatatkan 4,109 kes positif pada hari Sabtu, menurut Kementerian Kesihatan, meskipun jumlah jangkitan sebenarnya mungkin lebih tinggi.

Di bawah sekatan pergerakan itu, semua kedai kecuali perniagaan dan pasaran penting akan ditutup sehingga 16 Mei.

Hanya kenderaan persendirian, teksi dan kereta api sahaja yang dibenarkan bergerak di dan antara wilayah – semuanya dengan kapasiti yang terhad. – MalaysiaGazette