PUTRAJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 tidak gagal sebaliknya membantu mengekang penularan wabak Covid-19.
Malah, langkah pelaksanaan itu mengelak peningkatan kes jangkitan harian dalam negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, jika PKP 2.0 tidak dilaksanakan, kes harian boleh meningkat sehingga lima angka sehari.
“PKP 2.0 tak gagal kerana kalau tak laksanakan, kes boleh meningkat kepada lima angka. Ada kemungkinan 10,000 hingga 20,000 kes sehari,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkiniCovid-19 di kementeriannya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan sama ada PKP 2.0 gagal berikutan peningkatan kes sejak kebelakangan ini.
Menjawab mengenai sama ada negara sudah memasuki gelombang keempat Covid-19, Dr Noor Hisham memberitahu, pihaknya masih memantau varian dan jangkitan baharu yang menular dalam negara.
“PKP 2.0 adalah kesinambungan gelombang ketiga dan kita masih memantau varian baharu serta jangkitan baharu sebelum mengesahkan adanya gelombang keempat,” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Dr Noor Hisham memaklumkan, orang ramai dijangka boleh melakukan ujian pengesanan Covid-19 terhadap diri sendiri melalui sampel air liur dalam masa terdekat.
Katanya, dua kit ujian itu dihasilkan oleh dua syarikat yang kini berada dalam pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Alatan Perubatan (MDA).
“Orang ramai boleh mendapatkannya di farmasi dan melakukan ujian Covid-19 di rumah,” jelasnya.
Tambah beliau, sekiranya didapati positif Covid-19, individu tersebut perlu melaporkannya ke fasiliti kesihatan. – MalaysiaGazette